Kemudahan fiqh yang dimaksudkan adalah seperti berikut ;
1.
Melihat aspek keringanan (rukhsah) dalam syariat dan tidak harus
melayani kesemua manusia dengan satu tahap. Kita tidak boleh meminta
kepada orang yang lemah sepertimana tuntutan terhadap orang yang kuat
atau orang yang baru masuk Islam atau orang yang baru bertaubat dengan
tuntutan seperti yang kita berikan kepada orang yang tekun menjalankan
ajaran agama.
2. Memperhatikan darurat dan keadaan
yang meringankan hukum seperti keadaan darurat yang membolehkan hal-hal
yang sebelumnya dilarang dengan membatasi bahawa apa yang dibolehkan
dalam keadaan darurat hanya sesuai dengan kadar keperluan saat itu
sahaja.
3. Memilih yang termudah selagi mana ia
tidak termasuk dalam perkara yang haram. Jika terdapat dua pendapat yang
seimbang atau berdekatan dalam suatu masalah, hendaklah memilih
pendapat yang mudah yang boleh dilaksanakan oleh masyarakat.
4.
Mempersempitkan bidang kewajiban dan pengharaman iaitu meneliti dengan
cermat sesuatu hukum . Ruang ini tidak boleh diperluaskan kecuali dengan
dalil yang kuat sama ada dalam perkara penghalalan atau pengharaman.
Kalangan ulamak amat menghindari sikap mengharamkan sesuatu atau
mewajibkan sesuatu kecuali ada dalil yang jelas. Jika tidak ada mereka
menurunkan sesuatu yang fardu kepada wajib dan dari haram kepada makruh.
5.
Membebaskan diri daripada ta’asub kepada mazhab tertentu. Walau
bagaimanapun ia bukan bermaksud mencela mazhab tersebut atau menjatuhkan
taraf imam-imam mazhab. Ia bermaksud agar setiap muslim berusaha untuk
memilih dalil yang paling kuat dan paling unggul. Tindakan seperti ini,
akan meberikan keluasan bagi umat, memberikan kemudahan besar baginya
dan membuka tempat yang luas untuk memilih pendapat yang terkuat sesuai
dengan tujuan syariat dan kepentingan manusia.
6.
Mempermudahkan dalam hal-hal yang terjadi secara umum (Umum al-balwa)
atau sesuatu masalah yang menimpa semua orang sama ada dalam bidang
ibadat mahupun muamalat seperti bab najis dan kebersihan. Imam Malik
berpendapat bahawa setiap haiwan yang dagingnya boleh dimakan maka
kencing dan kotorannya adalah suci dan air hanya menjadi najis jika
najis air itu berubah oleh sebab najis yang lain. Di samping itu, para
ulamak memilih pendapat yang paling berat, ia juga harus menunjukkan
pendapat yang lain.
7. Ia tidak membebankan manusia hanya dengan satu pendapat sehingga mengakibatkan berlakunya fitnah.
8.
Memperhatikan tujuan syariat dan perubahan hukum. Dalam hal ini para
ahli fiqh harus melihat tuuan-tujuan syariat keseluruhannya dalam
mewujudkan kepentingan manusia dalam hidupnya dan menolak keburukan
daripada mereka. Di samping itu, para ahli fiqh harus mengaplikasikan
kaedah perubahan hukum dengan berubahnya zaman, tempat, keadaan dan
tradisi. Syariat memberikan kita fleksibiliti, keluasan dan kemudahan
dengan hak untuk berijtihad.Al-Qaradawi berharap dengan faktor-faktor tersebut fiqh dapat dimudahkan untuk kemudahan umat Islam yang mana syariat Islam ditegakkan atas prinsip kemudahan, fleksibiliti dan keluasan. Islam bukan agama yang menyusahkan umatnya atau menyulitkan seseorang. Banyak ayat al-Quran dan hadis nabi yang menyokong prinsip tersebut. Buku “Halal dan Haram” yang ditulis oleh al-Qaradawi merupakan buku yang terlaris dan dicetak sehingga kini lebih dari 20 kali dan diterjemahkan dalam pelbagai bahasa. Ia merupakan respons daripada masyarakat kerana al-Qardawi menggunakan pendekatan yang mudah dalam bahasa dan fatwa. Begitu juga dengan buku al-Fatawa al-Mu’asir (Fatwa-Fatwa Semasa) yang mengandungi penjelasan yang padat dan ringkas serta memberi pengantar yang cukup memuaskan sebelum ia menetapkan sesuatu hukum. Hal ini menyebabkan fatwa beliau dapat diterima dan tidak menyulitkan pembaca memahaminya.
Antara orang yang merintis fiqh kemudahan ini ialah gurunya Hassan al-Banna. Hassan al-Banna menyeru murid-muridnya supaya menulis fiqh yang mudah difahami oleh semua golongan dalam majalah Ikhwan yang diterbitkan pada tahun 1933. Kemudian Sayyid Sabiq menulis Fiqh al-Sunnah atas arahan Hassan al-Banna. Beliau membahaskan perkara ini dengan cara yang sangat mudah supaya mudah difahami oleh semua golongan umum. Al-Qaradawi menyebutkan salah satu bencana yang menimpa Islam masa kini adalah adanya orang yang menyeru kepada kesulitan-kesulitan dalam segala urusan, seakan-akan dalam Islam itu tidak ada kemudahan. Mereka mempersulitkan dalam perkara berwuduk, solat, berpakaian, bergaul dengan orang lain dan jual beli. Begitu juga dalam bidang dakwah mereka menyukarkan dan menyulitkan padahal sebenarnya apa yang mereka lakukan itu adalah bertentangan dengan manhaj Rasulullah. Tindakan mereka ini telah menyempitkan ruang Islam yang luas, membekukan keluasan agama Islam. Dan lebih daripada itu, mereka membuatkan manusia lari dari agama dan sangat jelek dengan perkara yang mereka lakukan.
Kemudahan fiqh ini tidak bermaksud mengurangkan atau tidak mempedulikan dan melanggar perintah Allah dan teks-teks al-Quran yang pasti. Ia adalah kecenderungan kepada yang lebih mudah bagi orang Muslim mengamalkan. Perkara ini berlaku jika masalahnya berada dalam ruang ijtihad atau ada teks yang masih terbuka untuk tafsiran. Yang demikian itu, sudah tentu tidak bertentangan dengan syariat bahkan penafsiran itu sebenarnya merupakan penerapan ruh syariat.
Kemudahan yang diutarakan oleh al-Qaradawi ini menyebabkan beliau dituduh sebagai seorang yang suka meringan-ringankan hukum oleh orang yang ekstrem sehingga mengatakan buku al-halal wa al-haram fi al-Islam (Halal dan Haram dalam Islam) ditukar tajuk menjadi al-halal wa al-halal fi al-Islam
(Halal dan Halal dalam Islam). Al-Qaradawi pernah menjawab mereka yang ingin mengubah tajuk buku tersebut dengan satu syarat yang harus mereka penuhi : " iaitu hendaklah kamu mengarang satu buku dengan judul al-Haram wa al-Haram fi al-Islam).(Haram dan Haram dalam Islam).
sumber : http://www.mindamadani.my
No comments:
Post a Comment