1) Membaca Secara Perlahan.
Merupakan
amalan sahabat Nabi s.a.w antaranya Abu Bakar, Ali, Ibn Mas'ud, Ibn
Zubair, Ammar dan ijtihad ulama seperti Imam Abu Hanifah dan Ahmad.
(Al-Mughni, jld.2, hlm. 27)
Anas berkata :"Aku
solat bersama Rasulullah s.a.w dan Sayidina Abu Bakar, Sayidina Umar
dan Saiyidina Uthman dan tidak kudengari seorang pun antara mereka yang
membaca Basmalah (dengan kuat)." (Riwayat Muslim)
2) Membaca Secara Lantang (jahr).
Imam
al-Syafi'i, Said Ibn Jubair, Ata' Bin Abi Rabah dan Mujahid
berpandangan: Ijtihad mereka didasari oleh riwayat yang menunjukkan Nabi
s.a.w menguatkan basmalah.
Ini bertepatan dengan hadis Rasulullah yang bermaksud ; "Apa-apa
yang diperdengarkan oleh Rasulullah s.a.w maka kami akan
memperdengarkannya kepadamu (dengan menguatkan bacaan) dan apa-apa yang
Baginda perlahankan, kami turut memperlahankannya." (Riwayat al-Bukhari)
3) Tidak Perlu Sebut.
Ia
pandangan Imam Malik dan hanya sunat dibaca ketika solat sunat.
Manakala hadis-hadis berkenaan membacanya secara kuat, sekali lagi
diperdebatkan oleh para ulama. Terdapat juga hadis yang melemahkan
keseluruhannya.
Namun Ibn Hajar membawakan hadis berikut sebagai salah satu pegangan dalam mazhab Syafi'i : "Sekumpulan sahabat membaca Basmalah secara kuat ; iaitu Umar al-Khattab." (Musannaf Ibn Abi Syaibah, jil.1, hlm. 362 no.4156) Ibn Zubair, Mu'awiyah dan lain-lain. Namun masih terdapat komentar kerana telah sabit juga mereka tidak membaca basmalah secara jahr, antaranya hadis sahih di atas.
Kesimpulan
Diharuskan membaca basmalah secara jahr semasa solat jahr terutamanya apabila diyakini ijtihad yang menganggap masalah basmalah adalah salah satu daripada surah al-Fatihah. Dalam hadis yang bermaksud ; "Apabila
kamu membaca al-Fatihah, maka bacalah basmalah kerana sesungguhnya ia
Ummul Quran dan tujuh pujian yang diulang-ulang dan basmalah adalah
salah satu daripada ayatnya." (Riwayat al-Daraqutni)
Dalam hadis lain yang bermaksud, daripada Nu'aim Ibn al-Mujmir berkata : " Aku
solat di belakang Abu Hurairah r.a maka beliau membaca basmalah dan
kemudian membaca al-Fatihah sehingga akhir, lalu Abu Hirairah berkata;
'Demi nyawaku di tangan Allah, sesungguhnya solatku, adalah yang paling
hampir kepada Rasulullah s.a.w."
Oleh : Ustaz Zaharuddin Abd. Rahman
Sumber : Petikan Formula Solat Sempurna
No comments:
Post a Comment