Showing posts with label Adab / Akhlak. Show all posts
Showing posts with label Adab / Akhlak. Show all posts

Wednesday, 16 May 2012

Selamat Hari Guru 2012



Selamat Hari Guru buat semua guru yang telah mengajarku sejak aku kecil hingga kini khususnya buat guruku yang paling ku sayang dan paling berjasa kepadaku hingga aku menjadi seseorang pada hari ini iaitu Haji Uzip @ Othman Bin Mohd al-Muhammady (ABOH) dan Hajjah Fatimah Binti Kadir  (MOK), juga tidak dilupakan jasa al-Fadhil Ustaz Sahari Anuar Bin Ahmad yang telah sabar selama empat tahun mendengar bacaan hafazanku sehinggalah aku berjaya menghabiskan 30 juzuk di hadapannya. (ramai lagi guru2 yang lain yang sangat berjasa kepadaku.... )

Kepada semua guru2ku....  

Halalkan segala ilmu
Jasamu akan ku kenang hingga ke akhir hayat
Maafkanku atas segala kenakalanku sepanjang bergelar muridmu
Kenangkan daku dalam doamu
Terima Kasih Guru...
Aku Sayang Kamu Semua......


Sajak Khas Buat Semua yang bergelar pendidik  

BERBURU ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979




Sunday, 15 January 2012

Adab Berguru


ADAB BERGURU OLEH IMAM AL-GHAZALI
  1. Apabila bertemu dengan guru hendaklah memberi salam.
  2. Jangan banyak bercakap di hadapan guru.
  3. Jangan bercakap sebelum guru bertanya.
  4. Jangan bertanya sebelum meminta izin dan dizinkan.
  5. Jangan menyangkal (tunjuk rasa tidak puas hati) terhadap guru.
  6. Jangan mengisyaratkan kepada guru dengan menyalahi pendapatnya.
  7. Jangan berbisik dengan rakan di sebelah ketika guru mengajar.
  8. Jangan berpaling ke kiri dan ke kanan (bermain) di hadapan guru.
  9. Jangan bertanya banyak soalan kepada guru ketika guru letih.
  10. Apabila guru berdiri hendaklah kita berdiri sebagai menghormatinya.
  11. Jangan mengikuti guru dengan pelbagai pertanyaan setelah guru     meninggalkan majlis.
  12. Jangan bertanyakan guru di tengah perjalanan sehingga dia sampai ke rumahnya atau ke tempat duduknya.
  13. Jangan bersikap buruk sangka terhadap pekerjaan guru.

ADAB BERGURU MENURUT PANDANGANKU
  1. Jangan mengumpat / fitnah / menipu / bermusuhan dengan guru.
  2. Jangan main SMS / telefon ketika guru mengajar.
  3. Jangan bersikap sombong terhadap guru yang tidak mengajar kita dan       setelah guru itu tidak lagi mengajar kita.
  4. Jangan pukul guru atau upah kawan, datuk, ayah, emak pukul guru.
  5. Jangan engkar permintaan / suruhan guru selagi permintaan itu tidak     menyalahi syariat agama / undang-undang / tatasusila.
  6. Sentiasalah berbudi kepada guru dan menyenangkan hati guru.
  7. Ziarahi guru ketika dia sakit atau dalam musibah.
  8. Sentiasalah mendoakan guru dirahmati Allah.