Ciri ketiga : Kemudahan dalam Fiqh.
Menurut
al-Qaradawi, manusia kini sangat memerlukan kepada kemudahan fiqh.
Kewajipan fiqh masa kini adalah untuk menjawab pertanyaan masyarakat
umum kerana setiap masalah yang terjadi dalam kehidupan manusia pasti
mempunyai aturan hukum dalam syariat Islam. Fiqh yang mudah ini adalah
sesuatu yang dituntut syariat, bukan hanya sebagai reaksi terhadap
tekanan dan tuntutan keadaan atau upaya untuk menyelaraskan diri dengan
zaman seperti yang disangka oleh sebahagian orang. Syariat Islam berdiri
di atas dasar kemudahan, bukan kesulitan dan kesukaran. Anjakan kepada
Islam berdiri atas landasan memberi khabar gembira bukan membuat
ketakutan. Al-Qaradawi membawa hujah dari al-Quran dan hadis yang
menggambarkan syariat Islam ditegakkan atas dasar kemudahan seperti
firman Allah yang bermaksud : " Allah menghendaki kemudahan bagi kamu
dan tidak menghendaki kesukaran bagi kamu" (al-Baqarah 185)
Yang dimaksudkan dengan kemudahan fiqh itu adalah dalam dua hal :
1.
Mempermudahkan kefahaman bagi seorang muslim kini yang sibuk dengn
urusan kehidupan yang dipenuhi dengan ledakan maklumat dan ilmu
pengetahuan.
2. Mempermudahkan hukum-hukumnya itu sendiri agar mudah
dilaksanakan dan diamalkan sambil menghindari sikap memberatkan dan
mempersulitkan serta memilih pendapat yang ringan dan mudah.
Al-Qaradawi
menyakini bahawa manhaj kemudahan ini merupakan manhaj Islam itu
sendiri. Menurutnya, syariat Islam itu sendiri dibangunkan atas
kemudahan dan menghapuskan kesulitan-kesulitan dalam ibadat. Di samping
itu, pada zaman sekarang ancaman pemikiran dan kebejatan moral begitu
tinggi yang memerlukan pendekatan yang mudah.
Memudahkan fiqh untuk difahami
Dalam kategori ini, al-Qaradawi menggariskan beberapa perkara yang diperlukan untuk memudahkan pemahaman iaitu :
1.
Memilih untuk memberi kemudahan dan bersikap sederhana dengan menulis
bahasa yang mudah, menghindari istilah-istilah yang membingungkan dan
berusaha untuk menterjemahkannya ke dalam bahasa yang mudah difahami
oleh orang awam dan padat. Hendaklah ia menulis secara sederhana di
antara yang sangat ringkas dengan sangat panjang. Sekiranya tulisan
terlalu pendek ia tidak akan memberi gambaran yang jelas dan jika
terlalu panjang pulam ia akan membosankan pembaca.
2.
Berbicara mengikut kesesuaian akal fikiran semasa. Oleh itu, fiqh harus
berbicara dengan orang zaman sekarang kerana ilmu pengetahuan dan
keadaan hidup telah berubah. Kita tidak perlu membuka masalah-masalah
yang tidak diperlukan oleh masyarakat kini.
3.
Menggunakan ilmu pengetahuan semasa dan istilah-istilahnya dalam
menghuraikan hukum syarak. Kemudian, menterjemahkan ukuran-ukuran atau
timbangan-timbangan ke dalam ukuran dan timbangan masa
4.
Mengaitkan fiqh dengan realiti iaitu membuang keterangan dalam
kitab-kitab fiqh yang menjelaskan tentang hukum yang sudah tidak ada
lagi masa kini seperti masalah perhambaan. Ia harus melihat realiti
terutama tentang permodalan, saham, dan sebagainya. Di samping itu,
meluaskan aspek zakat harta perusahaan, perniagaan dan sebagainya. Ahli
fiqh perlu menggabungkan masalah fiqh dengan sesuatu yang masih
menjadi realiti dan membuang yang tidak perlu dan tidak menjadi
perbincangan umum.
5. Menjelaskan hikmah syariat
sehingga akal manusia menjadi puas dan hatinya menjadi tenang. Setiap
ibadat itu mempunyai hikmat yang tersirat seperti hikmat bersolat,
hikmat mengeluarkan zakat.
6. Mengaitkan satu
hukum dengan lainnya dan memahami tujuan-tujuan syariat kerana Islam
adalah satu kesatuan yang tidak boleh dipecah-pecahkan. Hukum-hukum
saling berkait rapat antara satu sama lain. Hendaklah menghubungkan
antara hukum-hukum yang bersifat cabangan dengan tujuan syariah yang
bersifat universal dan umum dalam syariat Islam, sebab Islam itu agama
yang tidak mengenal pemisahan. Sebagai contoh orang yang membicarakan
tentang diat (pampasan nyawa dan harta) juga perlu memperjelaskan
tentang masalah hukum waris supaya ia berada dalam gambaran yang
menyeluruh dan jelas.
7. Mengurangkan sikap
memperbanyakkan perkara tambahan terutama dalam ibadat. Penjelasan dan
tambahan yang membuatkan seseorang bertambah sulit untuk memahami ibadat
tersebut.Ia hendaklah tidak memuatkan banyak tambahan dan
cabang-cabang yang mengandung banyak perkara terperinci yang mengubah
ajaran Islam dari mudah menjadi sulit seperti perilaku ahli fiqh yang
menyebutkan lebih dari sepuluh syarat sahnya takbiratul Ihram agar solat
seseorang menjadi sah. Semua itu tidak pernah diajarkan dan tidak
pernah ada di dalam al-Quran dan sunnah.
8.
Memanfaatkan tulisan-tulisan pada era moden dalam segenap bidang fiqh
terutama dalam fiqh perbandingan dan hasil kajian lembaga-lembaga fiqh,
tesis sarjana dan Ph.D yang ditulis dalam bidang fiqh.Begitu juga
fatwa-fatwa yang datang dari majlis fatwa atau lembaga penasihat badan
ekonomi atau lembahga syariah bank.
9. Menulis
buku-buku fiqh dengan tingkatan-tingkatan intelektual yang berbeza
supaya mudah difahami oleh setiap lapisan masyarakat seperti yang
dilakukan oleh Imam al-Ghazali yang mengarang buku-buku fiqh berjudul
Khulasah (intisari), al-Wajiz (ringkasan) kemudian al-Wasit (Pertengahan
dan al-Basit (bahasan yang panjang). Kesemua buku-buku tersebut adalah
dikarang mengikut kesesuaian dan tahap intelektual seseorang.
10.
Menggunakan sistem dan format penulisan yang terbaik terutama dalam
menulis teks al-Quran dan hadis dengan jelas seperti nombor dan surah
dan periwayatan hadis. Di samping menggunakan kaedah moden seperti
grafik, foto, carta, peta dan indeks. Ahli fiqh dituntut untuk
mengunakan sarana-sarana moden agar pemahaman syariat bertambah jelas.
Perkara-perkara
di atas merupakan kemudahan dalam mengajukan fiqh dan pendekatannya
kepada masyarakat umum. Hal ini merupakan bahagian pertama dalam
kemudahan fiqh. Bahagian kedua adalah berkaitan dengan kemudahan hukum
fiqh itu sendiri iaitu dengan memudahkannya untuk dilaksanakan dan
dipegang oleh setiap muslim dalam urusan ibadat, muamalat, politik dan
sosial.
bersambung .....
sumber :
http://www.mindamadani.my