Wednesday 1 February 2012

Ciri-Ciri Fiqh Al-Qaradawi : Dr. Mohd Rumaizuddin Ghazal (3.2)

Sambungan ....

Kemudahan fiqh yang dimaksudkan adalah seperti berikut ;

1. Melihat aspek keringanan (rukhsah) dalam syariat dan tidak harus melayani kesemua manusia dengan satu tahap. Kita tidak boleh meminta  kepada orang yang lemah sepertimana tuntutan terhadap orang yang kuat atau orang yang baru masuk Islam atau orang yang baru bertaubat dengan tuntutan seperti yang kita berikan kepada orang yang tekun menjalankan ajaran agama.
2. Memperhatikan darurat dan keadaan yang meringankan hukum seperti keadaan darurat yang membolehkan hal-hal yang sebelumnya dilarang dengan membatasi bahawa apa  yang dibolehkan dalam keadaan darurat hanya sesuai  dengan kadar keperluan saat itu sahaja.
3. Memilih yang termudah selagi mana ia tidak termasuk dalam perkara yang haram. Jika terdapat dua pendapat yang seimbang  atau berdekatan dalam suatu masalah, hendaklah memilih  pendapat yang mudah yang boleh dilaksanakan oleh masyarakat.
4. Mempersempitkan bidang kewajiban dan pengharaman iaitu meneliti dengan cermat sesuatu hukum . Ruang ini tidak boleh diperluaskan kecuali dengan dalil yang kuat sama ada dalam perkara penghalalan atau pengharaman. Kalangan ulamak amat menghindari sikap mengharamkan  sesuatu atau mewajibkan sesuatu kecuali ada dalil yang jelas. Jika tidak ada mereka menurunkan sesuatu yang fardu kepada wajib dan dari haram kepada makruh.
5. Membebaskan diri daripada ta’asub kepada mazhab tertentu. Walau bagaimanapun ia bukan bermaksud mencela mazhab tersebut atau menjatuhkan taraf imam-imam mazhab. Ia bermaksud  agar setiap muslim berusaha untuk memilih dalil yang paling kuat dan paling unggul. Tindakan seperti ini, akan meberikan keluasan bagi umat, memberikan kemudahan besar baginya dan membuka tempat yang luas untuk memilih pendapat yang terkuat sesuai dengan tujuan syariat dan kepentingan manusia.
6. Mempermudahkan dalam hal-hal yang terjadi secara umum (Umum al-balwa) atau sesuatu masalah yang menimpa semua orang sama ada dalam bidang ibadat mahupun muamalat seperti bab najis dan kebersihan. Imam Malik berpendapat bahawa setiap haiwan yang dagingnya boleh dimakan maka kencing dan kotorannya adalah suci dan air hanya menjadi najis jika najis air itu berubah oleh sebab najis yang lain. Di samping itu, para ulamak memilih pendapat yang paling berat, ia juga harus menunjukkan pendapat yang lain.
7. Ia tidak membebankan manusia hanya dengan satu pendapat sehingga mengakibatkan berlakunya fitnah.
8. Memperhatikan tujuan syariat dan perubahan hukum. Dalam hal ini para ahli fiqh harus melihat tuuan-tujuan syariat keseluruhannya dalam mewujudkan kepentingan manusia dalam hidupnya dan menolak keburukan daripada mereka. Di samping itu, para ahli fiqh harus  mengaplikasikan kaedah perubahan hukum dengan berubahnya zaman, tempat, keadaan dan tradisi. Syariat memberikan kita fleksibiliti, keluasan dan kemudahan dengan hak untuk berijtihad.

Al-Qaradawi berharap dengan faktor-faktor tersebut fiqh dapat dimudahkan untuk kemudahan umat Islam yang mana syariat Islam ditegakkan atas prinsip kemudahan, fleksibiliti dan keluasan. Islam bukan agama yang menyusahkan umatnya atau menyulitkan seseorang. Banyak ayat al-Quran dan hadis nabi yang menyokong prinsip tersebut. Buku “Halal dan Haram” yang ditulis oleh al-Qaradawi merupakan buku yang terlaris dan dicetak sehingga kini lebih dari 20 kali dan diterjemahkan dalam pelbagai bahasa. Ia merupakan respons daripada masyarakat kerana al-Qardawi menggunakan pendekatan yang mudah dalam bahasa dan fatwa. Begitu juga dengan buku al-Fatawa al-Mu’asir (Fatwa-Fatwa Semasa) yang mengandungi penjelasan yang padat dan ringkas serta memberi pengantar yang cukup memuaskan sebelum ia menetapkan sesuatu hukum. Hal ini menyebabkan fatwa beliau dapat diterima dan tidak menyulitkan pembaca memahaminya.

Antara orang yang merintis fiqh kemudahan ini ialah gurunya Hassan al-Banna. Hassan al-Banna menyeru murid-muridnya  supaya menulis fiqh yang mudah difahami oleh semua golongan dalam majalah Ikhwan yang diterbitkan pada tahun 1933. Kemudian Sayyid Sabiq menulis Fiqh al-Sunnah  atas arahan Hassan al-Banna. Beliau membahaskan perkara ini dengan cara yang sangat mudah supaya mudah difahami oleh semua golongan umum. Al-Qaradawi menyebutkan salah satu bencana yang menimpa Islam masa kini adalah adanya orang yang menyeru kepada kesulitan-kesulitan dalam segala urusan, seakan-akan dalam Islam itu tidak ada kemudahan. Mereka mempersulitkan dalam perkara berwuduk, solat, berpakaian, bergaul dengan orang lain dan jual beli. Begitu juga dalam bidang dakwah mereka menyukarkan dan menyulitkan padahal sebenarnya apa yang mereka lakukan itu adalah bertentangan dengan manhaj Rasulullah.  Tindakan mereka ini telah menyempitkan ruang Islam yang luas, membekukan keluasan agama Islam. Dan lebih daripada itu, mereka membuatkan manusia lari dari agama dan sangat jelek dengan perkara yang mereka lakukan.

Kemudahan fiqh ini tidak bermaksud mengurangkan atau tidak mempedulikan dan melanggar perintah Allah dan teks-teks al-Quran yang pasti. Ia adalah kecenderungan kepada yang lebih mudah bagi orang Muslim mengamalkan. Perkara ini berlaku jika masalahnya berada dalam ruang ijtihad  atau ada teks yang masih terbuka untuk tafsiran. Yang demikian itu, sudah tentu tidak bertentangan dengan syariat bahkan penafsiran itu sebenarnya merupakan penerapan ruh syariat.

Kemudahan yang diutarakan oleh al-Qaradawi ini menyebabkan beliau dituduh sebagai seorang yang suka meringan-ringankan hukum oleh orang yang ekstrem sehingga mengatakan buku al-halal wa al-haram fi al-Islam (Halal dan Haram dalam Islam) ditukar tajuk menjadi al-halal wa al-halal fi al-Islam

(Halal dan Halal dalam Islam). Al-Qaradawi pernah menjawab  mereka yang ingin mengubah tajuk buku tersebut dengan satu syarat yang harus mereka penuhi : " iaitu hendaklah kamu mengarang satu buku dengan judul al-Haram wa al-Haram fi al-Islam).(Haram dan Haram dalam Islam).

sumber : http://www.mindamadani.my

No comments:

Post a Comment