Wednesday 1 February 2012

Ciri-Ciri Fiqh Al-Qaradawi : Dr. Mohd Rumaizuddin Ghazal (2)

Ciri Kedua : Kesederhanaan.

Antara ciri fiqh al-Qaradawi ialah pandangan sederhananya dalam berfatwa dan berdakwah. Al-Qaradawi menyebutkan bahawa antara manhaj yang digunakan semasa berfatwa  ialah beriltizam dengan semangat kesederhanaan di antara golongan yang terlalu keras dan golongan yang terlalu liberal, antara orang yang ingin melepaskan diri daripada ikatan hukum-hukum yang telah pasti dengan alasan kemajuan. Mereka ini adalah golongan yang menyembah semua yang bersifat moden dan baru. Di satu pihak yang lain pula,terdapat  golongan yang sentiasa berpandukan fatwa-fatwa dan pendapat-pendapat  lama dengan alasan bahawa apa yang dilakukan oleh ulamak-ulamak dahulu merupakan satu kekudusan.

Faktor-faktor yang mempengaruhi sikap kesederhanaan al-Qaradawi ialah :

1. Faktor agama yang sememangnya adalah sederhana dan seimbang dalam semua hal dan melarang daripada melampaui batas dan berlebih-lebihan dalam apa jua keadaan.
2. Faktor peribadi yang cenderung kepada kesederhanaan dalam melihat pelbagai persoalan dan ini merupakan kurniaan Allah.
3. Peranan Hassan al-Banna dan Ikhwan yang sentiasa menyeru kepada kesederhanan dalam pemikiran dan tindakan.
4. Pengaruh dengan tafsir al-Manar dan pengarangnya Rashid Rida. Al-Qaradawi sering kali mengambil pendapat dalam buku ini sebagai bukti dan hujahnya.
5. Ulamak al-Azhar yang sederhana  seperti Muhamad Abu Zahrah, Abdul Halim Mahmud, al-Bahi al-Khuli dan Mahmud Syaltut.
6. Pemikiran Ibn  Taimiyah dan Ibn Jauziyyah yang memiliki pemikiran yang sederhana.
7. Pengalaman dan penguasaan yang mendalam dalam pelbagai mazhab dan kemampuan mengimbangi  perbezaan pendapat yang terdapat dalam pelbagai mazhab dengan pandangan yang menyeluruh.

No comments:

Post a Comment