Monday 6 February 2012

Ciri-Ciri Fiqh Al-Qaradawi : Dr. Mohd Rumaizuddin Ghazal (4)

Ciri Keempat : Realiti (waqi’iyyah)

Fiqh al-Qaradawi semuanya tertumpu kepada fiqh realiti (fiqh al-Waqi’i). Fiqh realiti bermaksud fiqh yang berdasarkan kepada pertimbangan antara maslahah dan mudarat. Perkara ini amat penting bagi ahli fiqh memahaminya. Fiqh realiti ini adalah lawan dari sesuatu yang khayal. Oleh itu hendaklah seorang ahli fiqh memahami  dan hidup dengan realiti yang ada. Hendaklah ia melihat dan memfokuskan perbahasannya kepada pertimbangan antara maslahah dan mudarat dan mengambil nas-nas dan meletakkannya bersesuaian dengan realiti.Dalam hal ini, al-Qaradawi menggariskan fiqh realiti iaitu :
1. Pertimbangan antara maslahah anatara satu sama lain dari segi keluasan, kedalamannya dan pengaruhnya dan kekekalannya. Dia harus melihat yang mana harus didahulukan dan mana yang harus dikemudiankan dan ditinggalkan.
2. Pertimbangan antara keburukan dengan keburukan yang lain dari segi yang disebutkan tadi yang mana harus didahulukan dan yang mana harus dikemudiankan dan ditinggalkan.
3. Pertimbangan antara maslahah dan keburukan jika kedua-duanya berada dalam bertentangan sehingga kita mengetahui bilakah seseorang harus mencegah keburukan daripada mengambil maslahah dan bila keburukan dilakukan demi memperoleh maslahah.


Dengan demikian mempelajari fiqh realiti ini dan memberi tumpuan semasa mengeluarkan fatwa merupakan sesuatu yang amat penting. Ilmu ini sangat penting bagi seorang faqih agar fatwa yang dikeluarkan ini ada hubungan dengan realiti. Ulama salaf ada menyebutkan bahawa Allah akan selalu melimpahkan rahmatNya kepada seseorang yang memahami zamannya dan istiqamah jalannya. Mereka juga berkata, “ Adalah menjadi kewajipan ahli fiqh untuk berinteraksi dengan masyarakat sekelilingnya.” al-Qaradawi mentakrifkan fiqh al-waqi’i sebagai sesuatu yang dibina atas pembelajaran kehidupan semasa dengan pembelajaran yang mendalam memenuhi segenap tajuk berdasarkan maklumat-maklumat yang tepat, keterangan dan penyelidikan yang teliti. Ubaid Hasanah pula mentakrifkannya sebagai turun  ke medan lapangan dan melihat realiti masyarakat yang ada dan memahami permasalahan-permasalahan serta membantu mereka dengan apa yang mereka timbulkannya. Dia hendaklah mengetahui nas-nas yang digunakan dalam realiti tersebut dan dalam peringkat-peringkat tertentu dan perkara yang perlu didahulukan untuk menyempurnakan bantuan kepada mereka. Hal inilah yang dinamakan fiqh al-waqi’i dan kefahaman realiti di samping memahami fiqh nas. Ahmad Bu’ud mentakrifkan fiqh al-Waqi’i sebagai kefahaman yang mendalam terhadap perkara yang berlaku di sekeliling kehidupan manusia dan perkara yang dibangkitkan  mereka. Fiqh al-Waqi’i ini ialah pemerhatian atas medan lapangan dan bukan atas kertas semata-mata. Ia merangkumi pemerhatian seluruh aspek kehidupan manusia sama ada positif atau negatif dan   faktor-faktor yang mempengaruhinya, jauh daripada sifat  imaginasi dan berusaha untuk memusatkan perkara dengan bersandarkan kepada dalil syarak.Dalam hal ini, beberapa kaedah seperti perubahan hukum kerana perubahan kemashalatan yang merentasinya seperti pandangan fuqaha yang mewajibkan perbezaan pakaian antara orang Islam dengan orang ahli dhimmah. Hal ini dilakukan kerana kemungkinan bahawa  pada zaman dahulu tidak ada identiti diri sehingga menyebabkan ahli dhimmah disolat dan dikebumikan di tempat orang Islam. Namun  membezakan pakaian adalah sukar untuk dilaksanakan dalam konteks zaman kini. Di samping itu, perbezaan identiti boleh ditentukan melalui kad pengenalan dan hal itu lebih baik dan efektif daripada membezakan pakaian. Begitu juga kaedah yang ditetapkan oleh fuqaha iaitu perubahan hukum disebabkan perubahan uruf (tradisi dan tempat) yang merentasinya seperti pengguguran kesaksian bagi orang berjalan  di jalan-jalan raya dengan tidak menutup kepala atau memakai kopiah atau songkok, minum di tepi-tepi jalan atau mencukur janggutnya atau orang yang suka mendengar lagu-lagu dan lain-lain iaitu uruf tersebut telah berubah dan pada zaman  yang diwarnai dengan pelbagai tentangan dan penyimpangan.

Dalam hal ini, al-Qaradawi memberi fatwa bahawa berdamai dengan Israel adalah haram sedangkan Syeikh Ibn Baz membolehkannya.Al-Qaradawi berdalilkan kepada nas-nas dan fiqh realiti yang berlaku yang memungkinkan berlakunya perdamaian. Menurutnya, orang-orang Yahudi tidak condong untuk berdamai setelah mereka merampas tanah kaum Muslimin dan telah menumpahkan darah mereka dan mengusir mereka dengan kasar dari tanah air mereka senfiri. Realiti yang berlaku bukanlah sekadar mereka ingin mengadakan genjatan senjata namun mereka telah mengisytiharkan Palestin sebagai negara mereka dan Baitul Maqdis sebagai ibu negara mereka. Mereka mengakui bahawa negara tersebut sebagai negara Yahudi Zionis Israel dan tidak  menganggap orang-orang Islam mempunyai hak di situ.Inilah perbezaan al-Qaradawi dengan Ibn Baz. Sepatutnya Ibn Baz perlu memahami sama ada pihak Yahudi itu condong untuk berdamai  atau ia hanya sebagai satu taktik untuk menggugurkan hak-hak orang Islam dan merampas bumi Palestin keseluruhannya.

sumber : http://www.mindamadani.my

No comments:

Post a Comment