Wednesday 8 February 2012

Ciri-Ciri Fiqh Al-Qaradawi : Dr. Mohd Rumaizuddin Ghazal (6)

Ciri Keenam : Memahami nas yang juz’iy dalam kerangka maksud syariah yang menyeluruh.

Ciri fiqh al-Qaradawi ialah kefahaman nas yang juz’iy dalam kerangka kefahaman maksud syariah yang menyeluruh. Beliau sentiasa menyeru agar kefahaman nas syariah sesuai dengan maksud syariah (maqasid al-syariat). Beliau mengingkari  orang-orang yang  hanya mengambil  makna secara zahir dan literal semata-mata tentang sesuatu nas  tanpa mahu mengambil maqasid syariah, pada masa  yang sama beliau mengkritik orang yang mengambil maqasid syaruah tanpa mempedulikan nas-nas.

Kelalaian  memahami maqasid syariah akan menyebabkan kekeliruan yang besar  dalam feqah bahkan ia berkemungkinan menyebabkan Islam dianggap tidak sesuai dengan zaman dan tempat. Kefahaman literal ini diguna pakai oleh Ibn Hazam  seperti seorang wanita yang belum berkahwin yang diam merupakan tanda ia reda dan jika ia berkata-kata itu adalah lebih baik dan meyakinkan. Tetapi bagi Ibn Hazm sekiranya perempuan itu berkata-kata  maka tidak boleh diakad nikah kerana menyalahi hadis. Begitu juga kini ada golongan yang tidak mahu  menentukan nilai dalam zakat harta, zakat fitrah dan kaffarat dan lalu menganggap bahawa penggunaan wang kertas masa kini bukanlah mata wang Islam. Oleh yang demikian, seseorang itu tidak diwajibkan mengeluarkan zakat dan tidak dianggap sebagai riba. Golongan ini muncul di Lebanon dengan nama golongan al-ahbash. Oleh itu, al-Qaradawi menyeru agar setiap fuqaha memahami dan mendalami maqasid syariah dari nas-nas yang ada dan membuat penelitian dan menyelami maksud-maksud serta menghubungkan antara juz’iy dengan kulli, mengembalikan yang furu’ (cabang) kepada usul (pokok) dan mengukuhkan antara hukum dengan hukum yang lain sehingga semua serba teratur dan saling mengisi antara satu dengan yang lain. Kesemua itu disertai dengan keyakinan bahawa syariat Islam tidak membezakan antara dua hal yang sama dan menyamakan dua hal yang berbeza. Dalam hal ini, al-Qaradawi mengharuskan seorang wanita bermusafir seorang diri dengan syarat perjalanan itu memberi keamanan kepada perempuan tersebut. Fatwa ini bertentangan dengan hadis nabi yang melarang wanita bermusafir tanpa mahram. Hadis itu diriwayatkan oleh Ibn Abbas bahawa Rasulullah bersabda  bermaksud : Tidak harus seorang wanita bermusafir kecuali dengan mahram dan tidak masuk kepadanya seorang lelaki kecuali  bersamanya ada mahram.” (HR al-Bukhari)  Dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud : “ Seorang wanita tidak boleh bermusafir sehari semalaman kecuali bersamanya seorang mahram.”(HR Syaikhan , Abu Daud, al-Turmizi dan Ibn Majah)

Menurut al-Qaradawi, para fuqaha telah membahaskan perkara ini ketika membahaskan kewajipan haji bagi seorang wanita sedangkan Rasulullah melarang seorang wanita bermusafir tanpa mahram. Para fuqaha  terbahagi kepada empat pendapat iaitu :
1. Segolongan yang berpegang teguh dengan zahir hadis yang disebutkan di atas. Golongan ini mengharamkan wanita bermusafir tanpa mahram walaupun untuk menunaikan ibadat haji. Hal ini termasuk semua bentuk perjalanan.
2. Golongan yang mengecualikan wanita yang telah tua yang tidak memiliki syahwat.
3. Golongan yang mengecualikan wanita yang bermusafir dengan wanita-wanita yang dipercayai. Bahkan ada yang berpendapat memadai seorang wanita yang dipercayai menemaninya.
4. Golongan yang berpendapat wanita boleh bermusafir  jika perjalanan tersebut itu adalah aman dan tidak berbahaya. Hal ini merupakan pendapat Ibn Taimiyah, Ibn Muflih dan al-Karabisi dari al-Syafi’i yang mengharuskan  hal ini dalam haji sunat dan perjalanan yang tidak wajib seperti ziarah dan berniaga.

Al-Qaradawi juga membawa hujah ulamak-ulamak lain seperti pandangan Ibn Sirin, al-Awza’iyy, Imam Malik dan al-Syafi’i.

Al-Qaradawi memberi dua kaedah iaitu  pertama, asal dalam hukum-hukum muamalat  adalah melihat kepada makna dan maksudnya, berbeza dengan hukum dalam ibadah. Asal hukum dalam ibadah adalah pengabdian, ketundukan dan menjalankan perintah tanpa melihat  makna dan maksud syariat. (iaitu melihat kepada hikmah dan rahsianya). Kedua, sesuatu yang secara zat diharamkan maka ia  tidak boleh ditukar menjadi harus kecuali adanya darurat. Sesuatu yang diharamkan disebabkan sadd al-zara’i, maka ia akan menjadi harus  ketika ada keperluan yang mendesak. Perjalanan seorang wanita tanpa mahram adalah sesuatu yang diharamkan untuk tindakan sadd al-zara’i. Al-Qaradawi berhujah lagi bahawa bermusafir zaman sekarang berbeza dengan bermusafir pada zaman dahulu yang perjalanannya penuh dengan bahaya dan rintangan yang berat dengan melalui lembah dan gurun yang berkemungkinan berlakunya rompakan dan samun di tengah jalan. Perjalanan zaman kini adalah dengan kenderaan yang dapat menghimpunkan sekian ramai di dalamnya seperti kapal terbang dan bas. Dengan demikian akan muncullah rasa aman dan selamat  dan terhindarlah rasa ketakutan. Oleh itu, al-Qaradawi berfatwa bahawa adalah harus seorang wanita bermusafir untuk menunaikan haji dan perjalanan yang lain dengan syarat ia memberi keamanan dan selamat.

Pandangan al-Qaradawi ini mendapat kritikan yang keras dan menimbulkan reaksi yang pelbagai. Mereka beranggapan bahawa al-Qaradawi telah menyalahi jumhur ulamak padahal ini bukanlah pendapat al-Qaradawi seorang sahaja.  Dan ciri ini juga mempunyai satu kaedah yang amat penting iaitu menetapkan hukum syariah yang juz’i berdasarkan kepada hukum syariah yang menyeluruh. Maksud kulli ialah yang ditetapkan oleh syariat berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah seperti konsep amanah, keadilan, menunaikan janji  dan ihsan. Juz’i adalah  dalil-dalil khusus yang memperkatakan masalah-masalah yang tertentu. Dalam hal ini, al-Qaradawi  berpendapat bahawa orang muslim yang membunuh kafir zimmi juga wajib dihukum bunuh. Perkara ini dilihat sebagai menghormati hak manusia dan memenuhi keadilan Islam tanpa mengira agama. Pendapat beliau ini menyamai pendapat Muhammad al-Ghazali yang bersandarkan kepada mazhab Hanafi. Perkara ini bersandarkan kepada hadis yang menyebutkan bahawa orang Islam yang membunuh kafir zimmi tidak dikenakan qisas sedangkan ayat al-Quran dalam surah al-Maidah  ayat 45 jelas menyebutkan jiwa dibalas dengan jiwa.

sumber  : http://www.mindamadani.my

No comments:

Post a Comment