Wednesday, 1 February 2012

Ciri-Ciri Fiqh Al-Qaradawi : Dr. Mohd Rumaizuddin Ghazal (3.1)

Ciri ketiga : Kemudahan dalam Fiqh.

Menurut al-Qaradawi, manusia  kini sangat memerlukan kepada kemudahan fiqh. Kewajipan fiqh masa kini adalah untuk menjawab pertanyaan masyarakat umum kerana setiap masalah yang terjadi dalam kehidupan manusia pasti mempunyai aturan hukum dalam syariat Islam. Fiqh yang mudah ini adalah sesuatu yang dituntut  syariat, bukan hanya sebagai reaksi terhadap tekanan dan tuntutan keadaan atau upaya untuk menyelaraskan diri dengan zaman seperti yang disangka oleh sebahagian orang. Syariat Islam berdiri di atas dasar kemudahan, bukan kesulitan dan kesukaran. Anjakan kepada Islam berdiri atas landasan memberi khabar gembira bukan membuat ketakutan. Al-Qaradawi membawa hujah dari al-Quran dan hadis yang menggambarkan syariat Islam ditegakkan atas dasar kemudahan seperti firman Allah yang bermaksud : " Allah menghendaki kemudahan bagi kamu dan tidak menghendaki kesukaran bagi kamu" (al-Baqarah 185)

Yang dimaksudkan dengan kemudahan fiqh itu adalah dalam dua hal :

1. Mempermudahkan kefahaman bagi seorang muslim  kini yang sibuk dengn urusan kehidupan yang dipenuhi dengan ledakan maklumat dan ilmu pengetahuan.
2. Mempermudahkan hukum-hukumnya itu sendiri agar mudah dilaksanakan dan diamalkan sambil menghindari sikap memberatkan dan mempersulitkan serta memilih pendapat yang ringan dan mudah.

Al-Qaradawi menyakini bahawa manhaj kemudahan ini merupakan manhaj Islam itu  sendiri. Menurutnya, syariat Islam itu sendiri dibangunkan atas kemudahan dan menghapuskan kesulitan-kesulitan dalam ibadat. Di samping itu, pada zaman sekarang ancaman pemikiran dan kebejatan moral begitu tinggi yang memerlukan pendekatan yang mudah.

Memudahkan fiqh untuk difahami

Dalam kategori ini, al-Qaradawi menggariskan beberapa perkara yang diperlukan untuk memudahkan pemahaman iaitu :

1. Memilih untuk memberi kemudahan dan bersikap sederhana dengan  menulis bahasa yang mudah, menghindari istilah-istilah yang membingungkan dan berusaha untuk menterjemahkannya ke dalam bahasa  yang mudah difahami oleh orang awam dan padat. Hendaklah ia menulis secara sederhana di antara yang sangat ringkas dengan sangat panjang. Sekiranya tulisan terlalu pendek ia tidak akan memberi gambaran yang jelas dan jika terlalu panjang pulam ia akan membosankan pembaca.
2. Berbicara mengikut kesesuaian akal fikiran semasa. Oleh itu, fiqh harus berbicara dengan orang zaman sekarang kerana ilmu pengetahuan dan keadaan hidup  telah berubah. Kita tidak perlu  membuka masalah-masalah yang tidak diperlukan oleh masyarakat kini.
3. Menggunakan ilmu pengetahuan semasa dan istilah-istilahnya dalam menghuraikan hukum syarak. Kemudian, menterjemahkan ukuran-ukuran atau timbangan-timbangan ke dalam ukuran dan timbangan masa
4. Mengaitkan fiqh dengan realiti iaitu membuang keterangan dalam kitab-kitab fiqh yang menjelaskan tentang hukum yang  sudah tidak ada lagi masa kini seperti masalah perhambaan. Ia harus melihat realiti terutama tentang permodalan, saham, dan sebagainya. Di samping itu, meluaskan aspek zakat harta perusahaan, perniagaan dan sebagainya. Ahli fiqh perlu menggabungkan masalah fiqh  dengan sesuatu yang masih  menjadi realiti dan membuang yang tidak perlu dan tidak menjadi perbincangan umum.
5. Menjelaskan hikmah syariat sehingga akal manusia menjadi puas dan hatinya menjadi tenang. Setiap ibadat itu mempunyai hikmat yang tersirat seperti hikmat bersolat, hikmat mengeluarkan zakat.
6. Mengaitkan satu hukum dengan lainnya dan memahami tujuan-tujuan syariat kerana Islam adalah satu kesatuan yang tidak boleh dipecah-pecahkan. Hukum-hukum saling berkait rapat antara satu sama lain. Hendaklah menghubungkan antara hukum-hukum yang bersifat cabangan dengan tujuan syariah yang bersifat universal dan umum dalam syariat Islam, sebab Islam itu agama yang tidak mengenal pemisahan. Sebagai contoh orang yang membicarakan tentang diat (pampasan nyawa dan harta) juga perlu memperjelaskan tentang masalah hukum waris supaya ia berada dalam gambaran yang menyeluruh dan jelas.
7. Mengurangkan sikap memperbanyakkan perkara tambahan terutama dalam ibadat. Penjelasan dan tambahan yang membuatkan seseorang bertambah sulit untuk memahami ibadat tersebut.Ia hendaklah tidak memuatkan  banyak tambahan dan cabang-cabang yang mengandung banyak perkara terperinci yang mengubah ajaran Islam dari mudah  menjadi sulit seperti perilaku ahli fiqh yang  menyebutkan lebih dari sepuluh syarat sahnya takbiratul Ihram agar solat seseorang menjadi sah. Semua itu tidak pernah diajarkan dan tidak pernah ada di dalam al-Quran dan sunnah.
8. Memanfaatkan tulisan-tulisan pada era moden dalam segenap bidang fiqh terutama dalam fiqh perbandingan dan hasil kajian lembaga-lembaga fiqh, tesis sarjana dan Ph.D yang ditulis dalam bidang fiqh.Begitu juga fatwa-fatwa yang datang dari majlis fatwa atau lembaga penasihat badan ekonomi atau lembahga syariah bank.
9. Menulis buku-buku fiqh dengan tingkatan-tingkatan intelektual yang berbeza supaya mudah difahami oleh setiap lapisan masyarakat seperti yang dilakukan oleh Imam al-Ghazali  yang mengarang buku-buku fiqh  berjudul Khulasah (intisari), al-Wajiz (ringkasan) kemudian al-Wasit (Pertengahan dan al-Basit (bahasan yang panjang). Kesemua buku-buku tersebut adalah dikarang mengikut kesesuaian dan tahap intelektual seseorang.
10. Menggunakan sistem dan format penulisan yang terbaik terutama dalam menulis teks al-Quran dan hadis dengan jelas seperti nombor dan surah dan periwayatan hadis. Di samping menggunakan kaedah moden seperti grafik, foto, carta, peta dan indeks. Ahli fiqh dituntut untuk mengunakan sarana-sarana moden agar pemahaman syariat bertambah jelas.

Perkara-perkara di atas merupakan kemudahan dalam mengajukan fiqh dan pendekatannya kepada masyarakat umum. Hal ini merupakan bahagian pertama dalam kemudahan fiqh. Bahagian kedua adalah berkaitan dengan kemudahan hukum fiqh itu sendiri iaitu dengan memudahkannya untuk dilaksanakan dan dipegang oleh setiap muslim dalam urusan ibadat, muamalat, politik dan sosial.

bersambung .....

sumber : http://www.mindamadani.my

Ciri-Ciri Fiqh Al-Qaradawi : Dr. Mohd Rumaizuddin Ghazal (2)

Ciri Kedua : Kesederhanaan.

Antara ciri fiqh al-Qaradawi ialah pandangan sederhananya dalam berfatwa dan berdakwah. Al-Qaradawi menyebutkan bahawa antara manhaj yang digunakan semasa berfatwa  ialah beriltizam dengan semangat kesederhanaan di antara golongan yang terlalu keras dan golongan yang terlalu liberal, antara orang yang ingin melepaskan diri daripada ikatan hukum-hukum yang telah pasti dengan alasan kemajuan. Mereka ini adalah golongan yang menyembah semua yang bersifat moden dan baru. Di satu pihak yang lain pula,terdapat  golongan yang sentiasa berpandukan fatwa-fatwa dan pendapat-pendapat  lama dengan alasan bahawa apa yang dilakukan oleh ulamak-ulamak dahulu merupakan satu kekudusan.

Faktor-faktor yang mempengaruhi sikap kesederhanaan al-Qaradawi ialah :

1. Faktor agama yang sememangnya adalah sederhana dan seimbang dalam semua hal dan melarang daripada melampaui batas dan berlebih-lebihan dalam apa jua keadaan.
2. Faktor peribadi yang cenderung kepada kesederhanaan dalam melihat pelbagai persoalan dan ini merupakan kurniaan Allah.
3. Peranan Hassan al-Banna dan Ikhwan yang sentiasa menyeru kepada kesederhanan dalam pemikiran dan tindakan.
4. Pengaruh dengan tafsir al-Manar dan pengarangnya Rashid Rida. Al-Qaradawi sering kali mengambil pendapat dalam buku ini sebagai bukti dan hujahnya.
5. Ulamak al-Azhar yang sederhana  seperti Muhamad Abu Zahrah, Abdul Halim Mahmud, al-Bahi al-Khuli dan Mahmud Syaltut.
6. Pemikiran Ibn  Taimiyah dan Ibn Jauziyyah yang memiliki pemikiran yang sederhana.
7. Pengalaman dan penguasaan yang mendalam dalam pelbagai mazhab dan kemampuan mengimbangi  perbezaan pendapat yang terdapat dalam pelbagai mazhab dengan pandangan yang menyeluruh.

Ciri-Ciri Fiqh Al-Qaradawi : Dr. Mohd Rumaizuddin Ghazal (1)

Ciri Pertama : Penggabungan antara Fiqh dan Hadis;

Al-Qaradawi menggabungkan antara Fiqh dan Hadis. Al-Qaradawi  mampu menggabungkan antara fiqh dan hadis dalam menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapinya. Setiap fatwa yang dikeluarkan akan diwarnai dengan pandangan yang kontektual dan sangat mendalam berdasarkan sikapnya yang sederhana. Penggabungan antara ilmu fiqh dan hadis menyebabkan fatwa-fatwanya selalu sederhana. Al-Qaradawi melihat bahawa umat Islam mengalami penderitaan apabila adanya ahli fiqh yang kerjanya hanya mengumpulkan pendapat para ulamak tanpa mengetahui tentang dalil yang mereka bicarakan.  Mereka berdalilkan kepada hadis-hadis daif dan palsu. Mereka mengeluarkan fatwa-fatwa berdasarkan kepada hadis-hadis daif dan palsu. Dalam hal ini, al-Qaradawi menyeru agar keperluan menggabungkan antara fiqh dan hadis kerana beliau melihat ramai fuqaha yang melibatkan diri dalam bidang hukum tidak memahami secara mendalam ilmu-ilmu hadis bahkan mereka sangat jahil dalam bidang ini sehingga tidak mengetahui rujukan-rujukan dalam bidang ini  dan tidak juga mengetahui sumber-sumber penting dalam bidang ini. Mereka  juga menggunakan hadis-hadis  yang lemah dan tidak diketahui sumbernya. Begitu juga terdapat ramai ahli hadis  yang tidak mendalami ilmu fiqh  dan usul fiqh. Mereka tidak berusaha untuk memahami maksud-maksud syariat. Oleh itu beliau menyarankan agar umat Islam kini menggabungkan antara kedua-dua sumber tersebut dan berusaha menyaring hadis-hadis  hukum yang bersifat umum dalam kerangka ilmu Usul hadis dan Usul Fiqh dan juga dalam kerangka maksud-maksud syariat.  Di samping itu, hadis-hadis tidak wajar diterima  kecuali yang sahih  atau hadis hasan yang lebih dekat kepada yang sahih untuk dijadikan sebagai dalil syar’i.

Al-Qaradawi menyebutkan bahawa menjadi kewajipan menghilangkan jarak antara fiqh dan hadis yang terjadi sejak berkurun yang lalu. Sudah menjadi tradisi yang mengakar  bahawa ahli feqah tidak menyibuk diri dalam bidang hadis.Sebaliknya, orang-orang yang sibuk dalam bidang hadis pula tidak menyibukkan dalam bidang fiqh. Keadaan seperti ini amat berbahaya dalam memahami Islam yang sebenar. Oleh itu, seseorang yang memahami hadis perlu juga belajar feqah dan usulnya dengan pengajian perbandingan, Dia harus memahami illat-illat hukum dan maksud-maksud syariat sehingga ia dapat memahami teks-teks al-Quran dan al-Sunnah dengan mendalam. Begitu juga menjadi satu kewajipan ahli fiqh untuk merujuk  kepada sumber-sumber muktabar al-Sunnah , keterangan-keterangan dan usulnya yang demikian luas bagi memahami hadis yang sahih dan hadis yang tidak sahih, antara hadis yang boleh yang diterima dan hadis yang tertolak, antara yang mutlak dan terikat, antara yang umum dan khusus. Dia harus memahami perawi-perawi hadis itu.
Beliau juga  mengambil pendapat dari generasi awal Islam yang lebih memahami bila dan di mana teks  itu diturunkan iaitu saat agama Islam masih jernih.Dia selalu membawa pendapat para sahabat dan fiqhnya dalam setiap perbahasan dan masalah yang beliau hadapi, sebab beliau yakin para sahabat adalah generasi yang telah mengaplikasikan wahyu dengan sebaik-baiknya di samping  menggabungkan antara yang lama dan yang baru. Beliau bukan orang yang hanya membanggakan 'masa lalu' dan bukan pula orang 'moden' yang menganggap segalanya serba moden dan tidak menoleh  masa lalu. Dia sering melihat  masa lalu dengan pandangan masa kini. Dia mengambil manfaat daripada hal-hal yang telah lalu dan akan menyesuaikan dalam bentuknya yang baru. 

sumber : http://www.mindamadani.my